Assalamualaikum.

Hari ini ana tidak keluar kemana-mana kerana tiada teman untuk diajak keluar bersama-sama, tetapi tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya ana ada masa untuk berehat dan membuat catatan baru pada blog ana ini.

Sebenarnya ana kurang idea untuk membuat catatan yang mungkin berkait rapat antara atu sama lain seperti catatan ana yang sebelum ini tetapi tidak mengapa kerana pada ana catatan ini mungkin dapat memberikan impak kepada saudari semua. Maaf jika sejak kebelakangan ini ana banyak menyentuh tentang kaum hawa pada setiap catatan ana buat kali ini. Ini tidak bermakna ana mengenepikan isu untuk kaum adam. InsyaALLAH jika ana akan cuba fikirkan catatan untuk tatapan dan renungan kaum adam pula nanti.

Hari sudah pun petang, hari ini entah mengapa hati ini terdetik untuk berkata tentang wanita lagi, semestinya mungkin kerana ana wanita. Mungkin! Sebut tentang wanita, di fikiran kita adalah cantik kan? Ini kerana wanita sememangnya sinonim dengan perkataan cantik.

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tidak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembutkan sekaligus melembutkan perasaan.

Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkatan pun masih belum cukup untuk mendefinasikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kensyukuran kehadrat ALLAH s.w.t. kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan di tatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Saudari ingin lebih cantik dan menarik?

1. Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.

2. Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.

3. Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.

4. Pakailah "sabun istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.

5. Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.

6. Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhwah.

7. Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".

8. Bedaklah wajah anda dengan "air wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.

Sesungguhnya cantinya seorang wanita itu sebenarnya terletak pada hati seorang wanita itu sendiri. Jika salah apa yang ana cakapkan ini diharap diberi teguran yang mana ana boleh perbetulkan. InsyaALLAH.

Untuk isu ini ana tidak mahu menyambung panjang kerana ana rasa ianya sudah memadai kerana ianya juga sudah padat dan penuh dengan apa maksud tersirat dan tersuratnya. Diharap kita dapat berjumpa di lain catatan ana. Jumpa lagi.

Assalamualaikum. Salam Ukhwah.