Assalamualaikum.

Bertemu lagi kita di catatan baru ana. Baru sekejap ana membuat catatan sebelum catatan ini menyusul. Tadi semasa setelah selesai ana mempamerkan catatan ana yang tadi tiba-tiba hati ini berdetik. Persoalan yang bermain dibenak fikiran ana adalah tadi ana menaip menggunakan jari tetapi tidak pernah terlintas sebelum ini difikiran ana yang mana jari memainkan peranan dalam kehidupan kita. Jika tiada jari mananya catatan ana tadi dapat di sediakan dan dipamerkan.

Catatan ana yang ini mungkin catatan yang mungkin akan membuatkan saudara/i berfikir panjang nun jauh ke seberang lautan atlantika.

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari saudara/i yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari saudara/i semua. Kemudian, genggam ia kuat-kuat dang angkatkan ke atas. Laungkan.."ALLAHU AKBAR" sekuat-kuatnya. Itulah Rukum Islam yang mesti dijunjung.

Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Ranung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan. Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecik dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar.

Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tidak terkira.. Pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjukkan jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertangungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Bersediakah anda?

Nah.. naik kepada jari ketiga. Jari ini yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang akan datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jati inilah yang mengungkap satu san esanya ALLAH s.w.t ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Mereka makan 'garam' terlebih dahulu dari kita. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggenggam semua jari dan angkat ibu jari ke atas dan hayun ke hadapan. Itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah kita sekarang?

Sesungguhnya pentingnya kita mengetahui yang mana setiap jari kita yang lima kita ini ada maksud-maksudnya yang tersirat yang mana kita perlu suratkan atau zahirkan supaya kita tidak akan sesekali lalai. Allahuakhbar. Besar sungguh kebesaranmu ya ALLAH.

Setakat ini dahulu catatan ana untuk kali ini kerana azan asar mula menjengah. Ana mahu mengambil air sembahyang dan menunaikan suruhanNYA. Ingat!! Fikirkan apa yang ana ulaskan tadi sedalam-dalamnya.

Asalamualaikum. Salam Ukhwah.