Assalamualaikum.

Alhamdulillah bertemu lagi kita di lain catatan ana ini. Semalam ana ada membaca satu buku "Kisah Wali-wali ALLAH" jilid 1, dimana ada satu bab yang mana cerita "Doktor Muda Dengan Ali bin Abi Talib".

Kisahnya bermula apabila Ali bin Abi Talib berjalan-jalan mengunjungi kota Basrah dan ternampak sekumpulan orang yang berebut-rebut untuk mendapatkan khidmat dan ubat dari doktor muda tersebut. Ali bin Abi Talib pun turut sama beratur untuk mendapatkan khidmat dan ubat dari doktor muda tersebut.

Apabila sampainya giliran Ali bin Abi Talib selepas berbalas salam Ali bin Abi Talib terus bertanyakan pada doktor muda tersebut, adakah tuan doktor boleh menunjukkan ubat penyakit dosa?. Pada mulanya doktor muda tersebut tidak memberikan jawapan pada persoalan Ali bin Abi Talib dan cuma menundukkan kepalanya. Apabila ditanya buat kedua kalinya oleh Ali bin Abi Talib, doktor muda tersebut dengan perlahan mendongakkan kepala memandang terus ke muka Ali bin Abi Talib dan menjawab:-

"Untuk mengubat dosa, seseorang hendaklah tinggal di kebun Iman, kemudian ambillah akar-akar niat dan bijirin penyesalan di dalam kebun itu. Ambillah pula daun-daun memperbaiki diri dan azam, taburkanlah biji wara', buah fikah, dahan-dahan yakin, saripatinya ikhlas dan kulitnya ijtihad. Ambil pula akar-akar tawakkal, sempurnakan dengan iktibar, minumannya air taubat dan ubat tawaduk. Ubat-ubat itu hendaklah diambil oleh hati yang hadir, waspada dan faham. Peganglah taufik, kemudian di tempatkan di bekas tahkik dan hendaklah di basuh dengan air mata. Lepas itu letakkan ia dalam periuk raja' (harapan), kemudian nyalakan api rindu dibawahnya sehingga timbullah buih-buih nikmat yang banyak. Setelah masak, tuangkan ia di dalam dulang redha dan kipaslah dengan kipas istighfar. Dengan demikian engkau akan mendapatkan minuman yang sangat jernih, asli dan sedp. Akhirnya minumlah air itu di tempat yang sunyi yang tidak seorangpun yang melihatnya melainkan ALLAH s.w.t. Dengan cara ini seseorang boleh mengubat dosanya sehingga sembuh dan dosanya habis terkikis".

Padat sungguh apa yang dijelaskan oleh doktor muda tersebut. Selepas doktor muda itu selesai memberikan keterangan yang panjang berupa resepi untuk ubat dosa, doktor muda itu bermadah memperingatkan orang yang hadir akan bahayanya dosa dan ehndaklah tetap bertakwa kepada ALLAH s.w.t. Kemudian ia berteriak satu kali dengan teriakan yang kuat sehingga rebah ke tanah dan meninggal dunia ketika itu juga.

Semoga ubat dosa ini dapat kita sama-sama amalkan. Setakat ini dahulu catatan ana untuk petang ini. Ana perlu menyediakan makan malam untuk ana seorang kerana tiada teman rakan-rakan satu rumah untuk teman ana makan. Itu tidak mengapa kerana ana sudah biasa dengan situasi ini.

Assalamualaikum. Salam Ukhwah.