Assalamualaikum.

Mohon maaf ana dahulukan kerana sudah lama tidak membuat catatan baru untuk renungan semua. Disebabkan sudah lama ana tidak membuat catatan baru di blog ana ini, hari ini ana ingin mengetengahkan isu Sayang dan Cinta menurut Islam, InsyaALLAH.

Jika kita sebut Sayang dan Cinta kita boleh kaitkannya dengan hati dan perasaan. Pada mulanya pendekatan yang ana ketengahkan dahulu adalah bait-bait pantun melayu dahulu.

Nasi lemak buah bidara,
Daun selasih saya lurutkan
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih saya turutkan.

Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya sorongkan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Jiwa dan raga saya serahkan.


Itu pantun melayu dahulu yang mana dari hati ianya diluahkan melalui pantun. Pantun bukan sebarang pantun, pantun dahulu banyak erti tersurat dan tersiratnya.

Orang muda kita sekarang pula lain pula fahaman mereka terhadap Sayang dan Cinta dimana mereka mengadaptasikannya dalam bentuk tajuk lagu ataupun lirik lagu, tajuk novel dan tajuk filem. Semestinya saudara/i faham apa yang ingin ana maksudkan ini kan. Contohnya adalah seperti:-

"CINTA itu buta"
"CINTA tidak boleh dijual beli"
"SMS on CINTA"
"CINTA medik"
"Cerita CINTA"
"CINTA dua benua"
"aku memang penCINTA wanita tapi ku bukan buaya"
"dua hati jadi satu bila kita bertemu"
"bulan madu di awan biru tiada yang mengganggu"


Itu ana senaraikan sedikit sahaja kerana terlalu banyak kalau nak dicoretkan disini. Tidak kurang juga bila ditanya pada remaja zaman sekarang tentang cinta mereka cepat sahaja memberikan jawapan seolah-olah mereka faham apa itu yang dimaksudkan dengan cinta. Mengeluh juga ana bila dengar segalanya dari mulut remaja kita zaman ini. Pernah ana terbaca di dalam salah satu akhbar dan majalah tentang isu KERANA CINTA, tetapi kandungaanya berbunyi begini mengenai cinta tetapi ana ambil sedikit-sedikit sahaja.

Gila-gila cinta
Harganya mahal
Hendak beli tidak berdaya
Tetapi ianya datang percuma dengan sepenuh jiwa dan raga
Meredah, melanggar sesiapa sahaja yang menghalangnya kerana ianya (cinta) tidak bermata
Emak sendiri pun sanggup disepak, dibuang demi kesetiaan pada si dia
Mata sepet tidak mengapa, hidung kembang alangkah lawanya
Sudah bersatu dunia kita
Susah senang kita berdua bersama
Dunia dan akhirat kita bersama


Astaghfirullahha'azim. Apa semua ini, inikah sikap remaja kita kini. Diharap singkatan-singkatan yang diberikan dapatlah saudara/i fahaminya sendiri secara halusnya maksud setiap singkatan itu.

Segalanya diatas adalah kerana kefahaman remaja kini tentang cinta yang sebetulnya cetek. Ini tidak bermakna ana kefahaman ana dalam tentang cinta yang sebenar, diharap saudara/i faham apa yang ingin disampaikan oleh ana.

Bila datangnya zaman kebangkitan ISLAM dimana arus dakwah terkena kepada sesiapa sahaja samaada individu tersebut benar-benar ingin berdakwah ataupun individu ini adalah sasaran dakwah. Berubahnya nilai dan neracanya dikala membentuk atau dibentuk melalui medan dan cara yang betul dalam mengembangkan ilmu agama iaitu agama ISLAM.

Ana pernah terbaca didalam satu ruangan blog tetapi itu cerita lama dan ana sudah lupa blog mana satukah yang mana menanyakan pada pembaca blog beliau tentang "Bukankah Adam dulu juga pernah bercinta dengan Hawa? Bukankah Nabi Sulaiman juga pernah bercinta dengan Ratu Balqis? Bukankah qudwah cinta sejati itu pada Ali dan Fatimah?" dan jawapan pada persoalan beliau oleh seorang ustaz (maaf namanya ana betul-betul lupa)"Anta baca silibus usrah yang mana ni. Salah tu". Pada mulanya ana terkejut dengan jawapan ustaz tersebut kerana pada sangkaan mulanya ana juga bersangka seperti beliau. Selepas itu ustaz tersebut memberi penjelasan, sambungan dari jawapan yang ana berikan tadi. Ulasan ustaz tersebut "Disebabkan itu saudara/i mengatakan yang cinta itu perlu? Saudara/i perlu ingat mereka (Adam dan Hawa, Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis, Ali dan Fatimah) bercinta tidak sama seperti orang lain. Sempadannya batasan syarak. Cuma sekadar cinta melalui perasaan dan tidak lebih dari itu. Takut ALLAH murka. Selepas meneliti penjelasan ustaz tersebut ana faham apa ertinya cinta yang ALLAH maksudkan yang sepatutnya.

Cinta lahir dari hati dan perasaan dimana terbinanya Masjid. Tetapi sebelum diijabkabulkan syariat tetap membataskan. Apa yang ana maksudkan disini adalah temujanji bukan di panggung wayang, bukan di dataran merdeka, bukan di Hard Rock Cafe. Saudara/i mesti pelik kenapa ana menyatakan tempat-tempat tersebut kerana bila ana keluar membeli belah biasanya berseorangan banyaknya maksiat berlegar di sekeliling ana yang mana pasangan kekasih yang hangat bercinta melalukan perkara yang ana kira tidak elok kerana ISLAM tidak mengajar umatnya begitu. Ana malu dengan sikap remaja kini, bebas dari pengawasan ibubapa. Semoga perkara ini dapat dibendung oleh kita-kita yang sama-sama malu dengan kejadian tersebut. Tegur menegur la antara kita.

Maaf jika ana berceloteh panjang disini kerana tidak mahu remaja kita kini terus hanyut dek zaman yang makin membangun ini. Disini jika ana ada tersalah cakap sama-samalah tegur ya. Ana sedang belajar dan mendalami lagi ilmu agama (ISLAM) walaupun ana sediakala ISLAM sejak dilahirkan. Mungkin setakat ini dahulu coretan ana untuk posting ini kerana dah terlalu panjang rasanya ana berceloteh. Tetapi insyaALLAH ana akan menambah tentang isu CINTA dalam ISLAM ini dengan huraian yang terperinci lagi di posting baru lainnya. Ana berundur diri.

Assalamualaikum. Wassalam.